KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan menerima laporan berkaitan satu kes kematian seorang lelaki yang ditahan di dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang hari ini.

Timbalan Pengarah (Pematuhan Standard) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata mangsa berusia 59 tahun ditahan di bawah Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(A) akta sama.

"Lelaki itu telah ditahan semalam dan sepatutnya direman di mahkamah pada hari ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan JIPS akan menjalankan siasatan berkaitan kes itu.

-- BERNAMA