JOHOR BAHRU: Polis mengesahkan tiada unsur jenayah membabitkan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang maut selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang besar di Taman Ungku Aminah, Skudai di sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Supt Fariz Ammar Abdullah berkata hasil bedah siasat yang dilakukan ke atas mangsa di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini tengah hari tadi mendapati punca kematian adalah disebabkan lemas.

Katanya setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan.

"Siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa bersama tiga rakan lelakinya berusia lingkungan 10 hingga 13 tahun dalam perjalanan untuk bermain bola di padang berhampiran tempat kejadian.

Mangsa yang malang itu dikatakan telah terjatuh ke dalam longkang akibat gagal melangkah untuk menyeberangi longkang tersebut. Mangsa telah hanyut dan lemas selepas dibawa arus deras kerana hujan lebat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BACA: Remaja lemas terjatuh dalam longkang di Skudai

Fariz Ammar berkata pasukan bomba dan penyelamat menemukan mayat mangsa 30 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh dan telah berjaya mengeluarkan remaja itu daripada longkang tersebut.

"Pegawai perubatan dari HSA yang turut hadir di tempat kejadian telah mengesahkan mangsa telah meninggal dunia," katanya sambil menambah pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 4 petang, semalam.

Semalam, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohamad Riduan Akhyar dilapor berkata seorang remaja lelaki meninggal dunia akibat lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang berkedalaman dua meter di Jalan Mahkota 7, Taman Ungku Aminah.

-- BERNAMA