Polis sahkan serangan harimau, dua lembu mati di Ipoh

Polis menasihatkan masyarakat agar berwaspada, tidak mendekati kawasan hutan.
IPOH: Polis mengesahkan kejadian serangan harimau yang menyebabkan dua lembu ternakan mati di Bukit Bangkong, Tanah Hitam di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, insiden itu dilaporkan seorang lelaki kira-kira jam 6.30 petang selepas mendapati dua lembu miliknya mati dengan kesan gigitan, manakala lima lagi dilaporkan hilang.
Menurutnya, berdasarkan laporan tersebut, anggota Balai Polis Tanah Hitam bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) digerakkan ke lokasi untuk pemeriksaan dan penilaian awal.
"Pihak Perhilitan telah mengambil langkah memasang kamera perangkap bagi tujuan pengesanan harimau di kawasan terbabit," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, polis akan meneruskan pemantauan secara berterusan dan menyalurkan maklumat kepada agensi terlibat bagi memastikan langkah kawalan risiko dan keselamatan penduduk dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Katanya, orang awam yang mempunyai maklumat diminta segera menghubungi Balai Polis Tanah Hitam atau Perhilitan bagi membantu siasatan.
"Polis menasihatkan masyarakat agar berwaspada, tidak mendekati kawasan hutan dan mengelak daripada sebarang bentuk provokasi terhadap haiwan liar demi keselamatan diri dan komuniti," katanya. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


