KUALA LUMPUR: UMNO Negeri Sembilan rela menjadi pembangkang daripada duduk dalam kerajaan untuk melihat apa saja kesalahan yang dilakukan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, kata Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan turut menegaskan pihaknya tidak boleh berkompromi dengan sebarang kegagalan dalam mengurus kemelut Dewan Undangan Negeri (DUN).
Advertisement
“Kita tak boleh kompromi dalam soal berkaitan kegagalan kerajaan menguruskan krisis sehingga ianya dilakukan perkara yang sedemikian rupa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama di Konvensyen 80 tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.
Pada masa sama, Jalaluddin turut menegaskan UMNO negeri tidak berhasrat untuk menggulingkan kerajaan atau ‘tebuk atap’.
Menurutnya, UMNO selaku majoriti dengan 14 kerusi ketika Pilihan Raya Negeri (PRN 2023) tetap menghormati Pakatan Harapan selaku rakan dalam gabungan Kerajaan Perpaduan yang telah terbentuk di peringkat pusat.
“Saya menghormati keputusan kerajaan pusat, supaya menjaga semua kesejahteraan dan juga kesinambungan untuk parti meneruskan khidmat kepada rakyat,” katanya.
Beliau ketika ditemui pemberita di luar dewan turut mengulangi pendirian 14 ADUN Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap Aminuddin.
Jalaluddin turut menjelaskan soal untuk memilih Menteri Besar yang baharu merupakan keputusan pucuk pimpinan tertinggi di antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
“Itu bukan keputusan UMNO Negeri Sembilan, maka kita akan lihat apabila keputusan itu sudah dibuat oleh pihak pimpinan tertinggi,” katanya.
Beliau turut menegaskan soal yang berlaku bukan kerana kuasa, individu namun tugas hakiki Menteri Besar adalah tidak membiarkan krisis adat di Negeri Sembilan menjadi perdebatan dalam kalangan masyarakat awam.
“Pelbagai persepsi yang buruk akan menjadi perbincangan di media sosial, sehingga menjejaskan reputasi institusi adat itu sendiri,” katannya lagi.