MALAYSIA
Polis serbu makmal haram, rampas dadah lebih RM5 juta

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata polis turut menahan 13 individu terdiri daripada lapan lelaki tempatan serta empat lelaki dan seorang wanita warganegara asing dengan kesemuanya berusia 20 hingga 40 tahun. - Foto BERNAMA
SHAH ALAM: Polis melumpuhkan sindiket dadah selepas menyerbu dua makmal haram memproses minuman jus mengandungi dadah menerusi enam serbuan berasingan di Ampang, Selangor dan Kuala Lumpur pada 26 Jun membabitkan rampasan bernilai RM5.03 juta.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata polis turut menahan 13 individu terdiri daripada lapan lelaki tempatan serta empat lelaki dan seorang wanita warganegara asing dengan kesemuanya berusia 20 hingga 40 tahun.
"Sindiket ini disyaki aktif sejak Disember tahun lepas dengan seorang daripada suspek berperanan sebagai koordinator manakala yang lain ialah ahli kimia, pembantu ahli kimia dan penghantar dadah dengan upah antara RM3,000 hingga RM25,000 sebulan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.Hussein berkata modus operandi sindiket berkenaan ialah dengan menjadikan rumah teres yang diserbu di Ampang dan Pandan Perdana, Kuala Lumpur sebagai tempat memproses dadah MDMA untuk dimasukkan ke dalam minuman jus dan menjadikan kereta sebagai stor simpanan sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
"Empat serbuan lain di kawasan parkir pusat perdagangan dan ruang parkir kondominium melibatkan rampasan 1,510 kotak serta 728 botol minuman jus disyaki mengandungi cecair dadah MDMA dengan berat kira-kira 689.42 kilogram (kg).
"Selain itu, turut dirampas serbuk dadah MDMA (1.68 kg), ketamin (25.4 kg), pil ekstasi (5.3 kg) dan pil erimin 5 (0.726 kg)," katanya.
Hussein berkata ujian saringan air kencing mendapati sembilan daripada 13 suspek positif dadah manakala dua suspek mempunyai rekod jenayah di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Imigresen 1959.
"Tindakan sitaan juga diambil melibatkan pelbagai harta dan barangan seperti lapan buah kereta, sebuah motosikal, wang tunai dan barang kemas dengan nilai keseluruhan RM826,222," katanya.
Hussein berkata kesemua suspek direman antara 2 hingga 3 Julai dengan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami