SEREMBAN: Polis menahan 18 lelaki selepas menyerbu 'sarang' penagihan dadah di sebuah pondok di dalam kebun getah, di Felda Jelai 4, Gemas dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tampin Supt Anuwal Ab Wahab berkata kesemua yang berusia lingkungan 23 hingga 55 tahun itu ditahan menerusi Op Sarang kira-kira pukul 8 pagi hingga 2 petang.

Beliau berkata hasil pemeriksaan turut merampas enam peket dadah jenis heroin seberat 301 gram (g) dan empat peket plastik mengandungi syabu seberat 51.25 g dengan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM10,000.

"Ketika ditahan ada yang sedang leka menghisap dadah dan ada yang sedang melakukan urusan jual beli dadah. Mereka menjadikan kebun getah sebagai lokasi melepaskan gian.

"Hasil ujian saringan awal mendapati mereka positif Morphine dan Methamphetamine," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Anuwal berkata masing-masing direman antara empat hingga tujuh hari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya hasil daripada operasi itu juga berjaya memutuskan rangkaian bekalan dadah kepada penagih di sekitar kawasan Felda Jelai, Gemas.

-- BERNAMA