BATU PAHAT: Polis menahan seorang lelaki berusia 21 tahun bagi membantu siasatan susulan satu perhimpunan 'mat rempit' yang bertindak membakar suar dan menaikkan kain rentang berbentuk provokatif.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Ismail Dollah berkata pihaknya menerima maklumat daripada  orang awam pukul 11.04 pagi tadi berkenaan kain rentang yang digantung di Jejantas Jalan Parit Raja menghala ke Ayer Hitam di sini.

"Sekitar jam 7.36 malam, satu lagi laporan polis diterima oleh seorang pengadu yang terkesan akibat menonton rakaman video satu perhimpunan pembakaran suar dan menaikkan kain rentang provokatif tersebut.

"Siasatan awal pihak polis mendapati kejadian tersebut berlaku di kawasan Parit Raja dan dipercayai kain rentang yang dinaikkan semasa perhimpunan berkenaan adalah kain rentang yang sama yang digantung di jejantas berkenaan," menurut beliau dalam satu kenyataan malam ini.

Katanya, polis juga menerima beberapa panggilan telefon mulai jam 12 malam tadi hingga 1 pagi melaporkan aktiviti 'mat rempit' di kawasan Parit Raja dan ia berjaya disuraikan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 144 / 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Pihak polis menyeru sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk menghubungi segera Balai Polis Parit Raja di talian 07-4541222 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat di talian 07-4363300.