KUALA LUMPUR: Polis menerima laporan berhubung klip video tular yang menunjukkan sekumpulan individu menyanyikan lagu Negaraku dan bendera Malaysia dikibar bersama bendera Israel.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Supt Ku Mashariman Ku Mahmood, satu kertas siasatan dibuka susulan laporan yang diterima pada 11.20 malam tadi.

"Pengadu memaklumkan melihat satu klip video berdurasi 47 saat berkaitan kejadian itu dalam satu kumpulan WhatsApp sebelum tampil membuat laporan polis.

"Hasil siasatan mendapati, kejadian dalam video itu berlaku pada September lalu, ketika sekumpulan warga tempatan mengadakan lawatan ke Tasik Galilee yang terletak dalam kawasan jajahan Israel.

"Lawatan dibuat menerusi Ziarah Kembara yang dikendalikan sebuah agensi pelancongan tempatan dan ketika lawatan, lagu Negaraku dipasang dan dinyanyikan serta bendera Malaysia dikibarkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ku Mashariman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Lagu Kebangsaan 1968 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

"Klip video itu dipercayai diviralkan semula untuk dikaitkan dengan isu Israel yang sedang panas sekarang," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan menyebarkan sebarang bahan berkaitan kejadian itu menerusi mana-mana platform.

"Ini bagi mengelakkan sebarang spekulasi dan provokasi sehingga menjejaskan siasatan pihak polis serta menggugat ketenteraman awam," tambahnya.