TAWAU: Polis telah membuka kertas siasatan kes seorang lelaki yang didakwa membawa sepucuk pistol ketika bertengkar dengan sekumpulan ejen penarik kereta.

Kejadian berlaku di kawasan parkir Taman Jambu, Jalan Sin Onn, di sini, jam 2.30 petang, Jumaat lalu sebelum menjadi tular di media sosial sejak kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya sudah menerima laporan daripada kedua-dua pihak terbabit.

Katanya, siasatan awal mendapati berlaku pertengkaran dan salah faham di antara ejen penarik kereta dan seorang lelaki merupakan ahli perniagaan berkenaan kereta yang didakwa milik isterinya.

"Kedua-dua pihak sudah membuat laporan polis dan rakaman percakapan telah diambil daripada kedua-dua mereka.

"Semakan juga mendapati ahli perniagaan itu mempunyai lesen pemilikan senjata api," kata Jasmin.

Menurutnya, polis akan mengemukakan hasil siasatan kes kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.

"Siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

"Polis juga mengingatkan masyarakat supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kes berkenaan," katanya.