KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah dalam satu operasi di kawasan Jalan Syed Putra, ibu negara, pada Rabu lalu.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintendan (DSP) Norhisham Mustapar, polis menahan 10 lelaki lelaki warga tempatan dan merampas pelbagai jenis dadah.

"Antaranya 432 gram pil erimin, 5,420 gram ganja, 254 methamphetamine dan 326 gram heroin yang keseluruhan bernilai RM81,196.

"Jumlah keseluruhan rampasan dadah tersebut mampu menampung seramai 2,500 orang penagih dadah dalam satu masa.

"Hasil saringan ujian air kencing mendapati enam suspek positif dadah manakala empat lagi suspek negatif daripada sebarang jenis dadah," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Norhisham berkata, polis turut merampas beberapa aset sindiket itu untuk disita termasuk wang tunai bernilai RM 17,600, kereta jenis Perodua Axia dan motosikal jenis Yamaha Y15ZR.

"Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan adalah RM136,596.

"Pihak polis masih menjalankan siasatan untuk mendapatkan punca bekalan dadah diperolehi dan suspek telah ditahan reman selama enam hari sehingga 30 Januari ini," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.