SEREMBAN: Polis menahan 22 individu termasuk seorang wanita yang dipercayai menjalankan aktiviti pengedaran dan penagihan dadah di beberapa lokasi di Port Dickson dekat sini menerusi serbuan selama empat hari bermula 1 Jan lepas.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata kesemua yang ditahan berusia lingkungan 21 hingga 54 tahun.

Beliau berkata dalam serbuan itu, pihaknya merampas dadah jenis heroin dan syabu seberat 155.69 gram membabitkan nilai sebanyak RM7,508.

"Sebuah kereta jenis Nissan Sentra dan tiga motosikal pelbagai jenis yang digunakan dalam aktiviti pengedaran dadah itu turut disita di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 Akta 340.

"Modus operandi suspek dipercayai menjalankan aktiviti berkenaan di sekitar kawasan Linggi, Pasir Panjang, Telok Kemang dan Port Dickson," menurutnya dalam kenyataan di sini malam ini.

Aidi Sham berkata suspek disiasat di bawah Seksyen 39B, Seksyen 39A(1), Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA