Polis memberkas 23 individu termasuk seorang wanita dipercayai anggota kongsi gelap dalam satu serbuan di sebuah premis di Taman Lintang Makmor, di sini pada petang Isnin.

Dalam serbuan sekitar 4.30 petang itu, kesemua individu berusia 22 hingga 55 tahun itu dipercayai sedang asyik mengadakan upacara angkat sumpah sebagai anggota kumpulan kongsi gelap.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Gan Tian Kee berkata serbuan tersebut dilaksanakan oleh bahagian D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput.

"Hasil siasatan mendapati enam lelaki daripada 23 yang ditangkap mempunyai rekod jenayah lampau manakala 10 lagi mempunyai tatu berkaitan kongsi gelap.

"Dalam serbuan itu, polis turut merampas dua ekor ayam yang dipercayai digunakan dalam upacara angkat sumpah berkenaan," katanya kepada pemberita.

Tian Kee berkata kesemua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966.

"Buat masa ini, polis sedang mengenalpasti kumpulan kongsi gelap yang diwakili atau disertai kumpulan berkenaan," katanya lagi.