Skip to main content

Malaysia

Polis tahan 58 individu di Tanah Merah, tumpaskan sindiket "love scam" sasar warga Singapura

81706786364_TBLOVESCAM.jpg
Polis menahan 58 individu dalam serbuan ke atas sebuah pusat operasi sindiket penipuan Love Scam yang menyasarkan lelaki warga Singapura, semalam. - Foto hiasan

TANAH MERAH: Polis menahan 58 individu dalam serbuan ke atas sebuah pusat operasi sindiket penipuan Love Scam yang menyasarkan lelaki warga Singapura, di sini semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata serbuan pada 4.30 petang itu, dijalankan hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan.

Advertisement

Beliau berkata kesemua yang ditahan terdiri daripada 53 lelaki dan lima wanita berusia dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun, membabitkan 56 warga asing dan dua warga tempatan.

“Daripada  jumlah itu, 49 orang lelaki warga China, seorang lelaki tempatan serta masing-masing seorang lelaki warga Myanmar, India dan Pakistan, manakala wanita pula ia membabitkan seorang warga tempatan, seorang warga Myanmar dan tiga warga China,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah, di sini hari ini.

Mohd Yusoff berkata premis di sebuah resort yang disewa oleh sindiket tersebut, telah dijadikan pusat panggilan khusus untuk menjalankan aktiviti penipuan berkenaan.

Beliau berkata sindiket itu menyasarkan lelaki warga Singapura dengan menyamar sebagai wanita yang dipercayai dari Indonesia bagi memperdaya emosi mangsa.

“Modus operandi mereka ialah dengan menghantar mesej rawak seperti ‘hai’ sebelum menjalinkan hubungan melalui aplikasi WhatsApp tanpa sebarang panggilan video dan seterusnya memperdaya mangsa untuk tujuan mendapatkan wang,” katanya.

Mohd Yusoff berkata sindiket berkenaan, dipercayai beroperasi sejak penghujung Mac lepas, bermula 12 tengah hari hingga 12 tengah malam setiap hari dan ia dikendalikan tiga penyelia bersama 55 operator.

“Kumpulan itu turut dikesan menggunakan sekurang-kurangnya lapan unit penghala, termasuk rangkaian Internet satelit bagi memastikan capaian Internet lebih stabil dan sukar dikesan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Dalam serbuan itu, polis merampas 46 unit komputer, lima komputer riba, 118 telefon bimbit, serta lapan unit penghala dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM179,000.

“Setakat ini, pihak kami belum dapat menganggarkan jumlah kerugian mangsa, kerana tiada laporan polis diterima daripada warga Singapura yang terbabit. 

“Siasatan juga mendapati, daripada kesemua warga asing yang ditahan, 33 individu mempunyai dokumen perjalanan yang sah manakala selebihnya tidak memiliki dokumen,” katanya.

Mohd Yusoff berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan 120B Kanun Keseksaan. Kesemua suspek telah direman selama empat hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan lanjut.

Mohd Yusoff menegaskan bahawa polis memandang serius jenayah penipuan dalam talian dan akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan berkenaan.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video