Sejumlah 116 warganegara asing ditahan ketika sedang membuat persiapan untuk solat Jumaat di kawasan atas bumbung sebuah kilang di Muar.

Mereka terdiri daripada lelaki warganegara Bangladesh, Pakistan dan Indonesia.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pithchay berkata pihaknya tidak dapat menerima alasan tidak faham dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Mereka ini bukan tak faham tapi buat-buat tak faham. Mustahil tak faham. Saya tak boleh terima, duduk di Malaysia ni selama tiga atau empat bulan, sudah pandai bahasa Melayu dah.

“Tidak dapat diterima alasan itu, kita akan ambil tindakan tegas. Di Muar, kita dapat aduan ada orang awam atas bumbung. Kita akan siasat dan kalau majikan tahu dan sedia maklum (namun) tidak mencegah, kita akan ambil tindakan atas majikan,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.

Jelasnya, selain 116 orang tersebut, 33 warga tempatan turut ditahan di seluruh Johor atas kesalahan melanggar PKP.

Kesemua yang ditahan disiasat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Manakala bagi warganegara asing akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.