JOHOR BAHRU: Polis Johor sedang menjalankan siasatan berhubung isu pencemaran sisa bahan buangan terjadual di tali air Sungai Tawakal di Kampung Baru Sri Aman yang dipercayai dibawa dari lokasi lain.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, siasatan masih dijalankan dan pihaknya sedang membantu Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenal pasti lokasi bahan buangan itu diperolehi.

Katanya, soal siasat terhadap sembilan suspek termasuk pemilik premis terbabit masih dijalankan.

“Setakat ini masih lagi kekal sembilan orang suspek ditangkap termasuk pemilik premis tersebut seperti yang kita katakan dua tiga hari lepas.

“Kita masih lagi membantu pihak JAS.. mungkin akan ada follow-up lagi sebab kita percaya lori ini diambil bahan kimia dari lokasi lain. Kesemua suspek masih direman dan soal siasat masih lagi berjalan, maka kita telah bantu pihak JAS dari segi soal siasat dan siasatan susulan. Insya-Allah kita akan kenal pasti dengan JAS daripada mana bahan-bahan buangan ini dibawa untuk dibuang di Johor,” kata beliau.

Ayob berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Johor, di Johor Bahru.

Terdahulu, lapan individu yang disyaki terbabit dalam insiden pembuangan sisa kimia industri terjadual berbahaya di Kampung Baru Sri Aman, Seelong pada Selasa lalu direman tiga hari bermula Khamis semalam.

Pengarah JAS Johor, Dr Famey Yusoff berkata, perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Kanan, Suhaila Shafi’uddin selepas pihaknya membuat permohonan tahanan reman terhadap lapan individu berkenaan.

Manakala, seorang lagi suspek dilepaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 34b Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.