MALAYSIA
Polis tahan dua individu, rampas dadah hampir RM11 juta di Bukit Kayu Hitam

Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali (tengah) memberikan penerangan ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu hari ini. - Gambar Bernama
JITRA: Polis mematahkan cubaan menyeludup dadah jenis heroin base dan serbuk dadah jenis MDMA dari Thailand dengan penahanan seorang lelaki serta wanita di Bukit Kayu Hitam, Ahad lepas.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman DCP Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata dalam operasi yang turut disertai pihak berkuasa Thailand itu, sejumlah 120.46 kilogram (kg) heroin base dan 2.37 kg dadah jenis MDMA bernilai RM10.8 juta dirampas.
"Lelaki berusia 37 tahun itu yang memandu kereta jenis Honda Accord ditahan pada 5.40 petang di Kompleks Kastam Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.
"Pemeriksaan menemukan 160 bungkusan plastik lut sinar ketulan mampat heroin base seberat 59.20 kg yang disembunyikan di ruang khas tempat duduk penumpang belakang," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu di sini hari ini.Beliau berkata wanita berusia 35 tahun yang memandu kereta Honda Accord pula ditahan pada 5.55 petang di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Utara-Selatan dari arah Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam.
Mat Zani berkata pemeriksaan di ruang khas penumpang belakang kenderaan itu menemukan 155 bungkusan plastik lut sinar berisi ketulan mampat heroin base seberat 61.26 kilogram dan 35 peket berisi serbuk MDMA seberat 2.37 kg.
Beliau berkata modus operandi sindiket ialah menggunakan kenderaan persendirian yang diubah suai untuk menyeludup dadah dari negara jiran sebelum dibawa diproses di sekitar Pulau Pinang dan sebelah utara tanah air.
Lelaki dan wanita terbabit katanya dipercayai berperanan sebagai "pengangkut" dan menerima upah sebanyak RM20,000 bagi membawa bahan terlarang itu.
"Kegiatan sindiket disyaki bermula awal tahun ini dan ini kali kedua cubaan menyeludup dadah masuk ke negara ini oleh sindiket terbabit, namun berjaya dipatahkan," katanya sambil menambah pihaknya telah mengenal pasti saki baki sindiket terbabit.
Mat Zani berkata lelaki dan wanita itu yang tidak mempunyai rekod kesalahan lampau serta negatif terhadap dadah direman hingga Ahad ini untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Polis katanya turut menyita tiga kereta dianggar bernilai RM66,000 untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami