PADANG BESAR: Polis menahan dua suspek utama yang disyaki terlibat dalam aktiviti membawa masuk pendatang tanpa izin ke negara ini, terdiri daripada seorang lelaki berusia 39 tahun daripada Geng Along Lubuk dan seorang lagi lelaki berumur 41 tahun daripada Geng Bang Sun.

Ketua Polis Daerah Padang Besar ACP Mohd Shokri Abdullah berkata suspek yang bekerja sebagai buruh kasar daripada Geng Bang Sun itu ditahan kira-kira pukul 11.00 malam di Kubang Geruh, Titi Tinggi pada Jumaat lepas.

"Suspek menaiki kereta jenis Honda Civic, hasil pemeriksaan polis menemukan seorang lelaki warga asing yang disorok dalam but kereta tersebut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya pada masa dan tempat yang sama, polis juga menahan sebuah kereta jenis Proton Persona namun suspek yang merupakan pemandu kereta dapat melarikan diri.

"Polis menahan lapan lelaki warga asing yang berada pada bahagian depan dan belakang kereta tersebut," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga menahan seorang suspek utama daripada Geng Along Lubuk dan seorang penunjuk arah berusia 45 tahun di sekitar Padang Besar, semalam.

Katanya suspek utama daripada Geng Along Lubuk itu merupakan seorang tukang urut dan pernah terlibat dalam aktiviti penyeludupan daun ketum.

Katanya penahanan itu adalah susulan daripada kejayaan polis menahan lima warga asing bersama seorang warga tempatan di laluan Viewpoint Wang Kelian sehari sebelumnya.

"Hasil siasatan mendapati bahawa kedua-dua sindiket mengenakan bayaran antara RM7,000 hingga 12,000 terhadap setiap seorang pendatang tanpa izin ," katanya

Beliau berkata keempat-empat suspek warga tempatan itu direman selama 28 hari hari, manakala semua pendatang tanpa izin ditahan selama 14 hari untuk siasatan lanjut.

Mohd Shokri berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Katanya sepanjang tahun ini hingga semalam, polis berjaya menahan 66 pendatang tanpa izin dari pelbagai warganegara yang melalui jalan darat di sempadan Malaysia-Thailand, di sini.

--BERNAMA