KOTA BHARU: Polis menahan seorang lelaki bersama sepucuk pistol, keris dan pedang di sebuah rumah di Taman Desa Bukit Ilmu, Kampung Air Belaga (B), Ulu Sat, Machang, dekat sini, minggu lepas.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata lelaki berumur 28 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota dari Cawangan Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan pada 11.50 malam, Isnin.

Katanya selain pistol jenis Glock 19 Austria warna hitam lengkap dengan sebutir peluru di dalam 'chamber', turut ditemukan ialah empat butir peluru hidup dalam kelopak, dua bilah keris kecil, sembilan bilah pedang, satu bilah parang berhulu kayu, 185 biji pil disyaki dadah dan serbuk putih dipercayai dadah.

Bercakap kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, di sini hari ini beliau berkata suspek yang memiliki 10 rekod lampau termasuk kesalahan narkotik, dan didapati positif dadah jenis methamphetamine itu, direman sehingga 29 Ogos bagi membantu siasatan.

Sementara itu dalam kes berasingan Muhamad Zaki berkata polis berjaya menahan 71 lelaki dan 21 wanita, semuanya pendatang tanpa izin dari Myanmar, di sebuah rumah di Kamping Belukar Pauh, Panji, di sini pada 4.40 pagi Selasa lepas.

"Turut ditahan tujuh lelaki tempatan berusia 17 hingga 43 tahun yang bertindak sebagai 'penghantar' selepas menerima arahan daripada seorang lelaki lain," katanya dan menambah pada hari berikutnya seorang lagi 'penghantar' ditahan di tepi jalan berhampiran sebuah pasar raya di Wakaf Che Yeh.

-- BERNAMA