SUNGAI PETANI: Polis menahan lelaki berusia 35 tahun selepas membuat laporan polis susulan video tular di media sosial memaparkan dia mengacu parang dalam pertengkaran membabitkan seorang individu di stesen minyak di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Gurun pada 1 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Zaidy Che Hassan berkata lelaki berusia 35 tahun yang juga pemandu lori itu ditahan pada 8.30 malam tadi di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Muda.

"Pada 10 pagi semalam, seorang pegawai polis telah melihat satu video pertengkaran di antara dua lelaki berlaku di stesen minyak berkenaan di laman sosial, dengan seorang daripada lelaki itu telah mengeluarkan parang.

"Pegawai berkenaan mengarahkan anggota dari Balai Polis Gurun untuk ke lokasi kejadian dan telah menemu bual pengurus cawangan stesen minyak itu. Pengurus cawangan itu mengesahkan bahawa kejadian berlaku pada 1 Julai kira-kira 7.40 malam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan mendapati kira-kira 6.15 petang pada hari kejadian, pemandu lori itu yang memandu keluar dari hentian Bukit Kobah, Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Pendang telah berselisih faham dengan seorang lelaki yang memandu kenderaan jenis Ford Ranger.

"Pemandu Ford Ranger berkenaan dikatakan telah membunyikan hon kepada suspek dan perselisihan faham itu berlanjutan sehingga sampai di tempat kejadian. Suspek berkata dia mengeluarkan sebilah parang dari lorinya selepas diugut oleh pemandu Ford Ranger.

"Suspek yang membuat laporan polis semalam telah ditahan reman selama tiga hari sehingga Selasa bagi membantu siasatan. Polis juga sedang mengesan pemandu Ford Ranger serta pemilik akaun TikTok yang menularkan video berkenaan," katanya.

-- BERNAMA