PADANG BESAR: Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terbabit dengan cubaan membunuh seorang anggota polis di Chuping, di sini, Oktober tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, ACP Mohd Shokri Abdullah berkata, suspek ditahan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar di sebuah rumah tidak bernombor di sini, jam 10.30 pagi semalam.

"Suspek, berusia 43 tahun, berjaya dikesan hasil Op Cantas Khas berdasarkan maklumat dan risikan.

“Suspek diburu polis selepas tindakannya mengundur kenderaan pikap sebelum merempuh motosikal dinaiki anggota polis yang mengejarnya kerana disyaki terbabit dengan kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) di sekitar Kampung Kubang Tiga, Chuping pada 16 Okt lalu.

"Suspek berjaya dikesan hasil Op Cantas Khas berdasarkan maklumat dan risikan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mohd Shokri berkata, ketika penangkapan, suspek cuba melarikan diri dengan melompat dari tingkap rumah berkenaan.

Namun, suspek berjaya ditahan selepas mengalami retak tulang di tumit kaki kanannya dan terpaksa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar untuk diberi rawatan.

Katanya, suspek bagaimanapun berada dalam keadaan stabil.

"Semakan terhadap rekod jenayah lampaunya mendapati suspek mempunyai lapan rekod lampau pelbagai kesalahan jenayah dan dadah malah hasil ujian air kencing juga mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine,” ujarnya.

Sementara itu polis telah memperoleh perintah reman selama tujuh hari bermula Jumaat sehingga 28 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun.

Sebelum ini, suspek sangat dikehendaki kerana disyaki terbabit dengan cubaan membunuh anggota polis yang cuba memberkasnya kerana dipercayai terbabit dengan kegiatan penyeludupan PATI di sekitar Chuping tahun lalu.