Polis menahan seorang lagi suspek lelaki warga Myanmar, yang dipercayai terlibat dalam kes menculik dan membunuh dua lelaki warga Bangladesh di hutan berhampiran Genting Highlands, dekat sini, pada 28 November lepas.

Dengan tangkapan itu, ia menjadikan enam suspek telah ditahan polis setakat ini.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Mohd Mansor Mohd Noor berkata suspek keenam diberkas pada Ahad lepas di rumah kongsinya di sekitar Genting Highlands.

"Suspek keenam ditahan selepas polis menyoal lima lagi rakan suspek, yang ditahan sehari sebelum itu di Kulim, Kedah.

"Kesemua suspek yang berumur antara 22 hingga 34 tahun direman selama seminggu sehingga esok, kami akan memohon kepada mahkamah untuk menyambung reman bagi melengkapkan siasatan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong, dekat sini, pada Sabtu.

Berikutan itu, keputusan hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Kuantan mendapati punca kematian mangsa pertama berumur 20 tahun itu telah dicekik sehingga mati manakala mangsa kedua berumur 29 tahun ditikam menggunakan objek tumpul di rusuk kiri dan kanan.

"Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan polis percaya saki-baki suspek yang terlibat dalam kes ini masih berada di luar sana dan akan memburu mereka," katanya.

Pada Sabtu lepas, polis menahan lima suspek warga Myanmar kerana disyaki terlibat dalam kes menculik dan membunuh dua warga Bangladesh di hutan berhampiran Genting Highlands.

Motif penculikan itu adalah untuk mendapatkan wang tebusan daripada keluarga kedua-dua mangsa.