GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang buruh binaan di Changkat Minden, Gelugor, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, ketiga-tiga lelaki  berusia antara 41 hingga  57 tahun itu ditahan di tiga lokasi di sekitar George Town antara jam 5.15 petang hingga 8.30 malam pada Sabtu.

"Ketiga-tiga suspek yang berasal dari negeri ini, ditahan di Air Itam, Jelutong dan Lebuh Pantai, dan pemeriksaan mendapati, dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah," katanya.

Soffian berkata ujian saringan awal air kencing mendapati seorang daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

"Kesemua mereka yang ditempatkan di Lokap Berpusat Bayan Baru direman selama lima hari sehingga 30 September ini untuk siasatan lanjut," kata Soffian dalam kenyataan pada Ahad.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam kejadian jam 2.30 petang Jumaat lepas,seorang buruh binaan warga tempatan berusia 52 tahun meninggal dunia dipercayai dibunuh kenalannya dalam kejadian di Changkat Minden.

Polis menerima laporan mangsa kononnya maut akibat kemalangan bagaimanapun siasatan lanjut mendapati mangsa telah dibunuh dan mayatnya ditemui oleh orang awam di tepi jalan di hadapan kedai runcit di kawasan tersebut.

Suspek dan mangsa saling mengenali dan mereka dikatakan selalu keluar minum bersama.

Perselisihan faham dipercayai menjadi punca lelaki tersebut maut dibunuh rakan sendiri.