GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menumpaskan kegiatan pengedaran dadah dengan penahanan tiga individu termasuk pasangan kekasih melibatkan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM1.6 juta dalam beberapa serbuan pada Isnin dan semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata penahanan dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia antara 22 hingga 28 tahun itu susulan maklumat dan risikan sejak beberapa minggu lepas.
Advertisement
“Serbuan pertama pada 12 tengah hari Isnin di kawasan parkir kenderaan di sini menahan seorang lelaki dan merampas 120 paket dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 3,024 gram (g) yang ditemukan dalam sebuah kenderaan.
“Susulan tangkapan itu, serbuan kedua di kawasan parkir sama membawa kepada penahanan sepasang kekasih dan pemeriksaan terhadap sebuah motosikal menemukan 119 paket serbuk MDMA dengan anggaran berat 2,213 g,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azizee berkata soal siasat ke atas mereka membawa kepada serbuan ketiga di sebuah kediaman di Seberang Perai Utara, dekat sini dan merampas 252 paket serbuk MDMA seberat 5,220 g, 18 paket ketamin (515 g) serta tujuh keping aluminium foil mengandungi 70 biji pil Erimin 5 (19 g).
Selain itu, beliau berkata polis menyita pelbagai aset bernilai RM224,544 termasuk kereta Honda Civic bernilai RM130,000, Perodua Myvi (RM44,000), Toyota Vios (RM36,000), barang kemas bernilai RM9,044 dan wang tunai RM5,500, menjadikan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM1.82 juta.
Azizee berkata siasatan awal mendapati semua suspek tidak bekerja dan berperanan sebagai runner sejak Disember lepas. Ujian saringan air kencing dua suspek juga didapati positif dadah.
Beliau berkata jumlah dadah yang dirampas boleh digunakan 30,000 penagih.
Tiga suspek kini direman sehingga 16 Mac bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA