KOTA BHARU: Seorang wanita disyaki pembekal dadah ditahan bersama 532.7 gram (g) dadah jenis heroin dan 1,000 pil yaba dalam serbuan di sebuah rumah di Lembah Cherang Ruku, Pasir Puteh semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata suspek berumur 31 tahun itu ditahan oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh pada 9.25 pagi dan sejumlah dadah bernilai RM199,000 serta sebuah kenderaan bernilai RM30,000 dirampas.

"Dadah berkenaan dijumpai di dalam kereta dan rumah iaitu 94 botol disyaki jenis heroin dan 1,000 pil yaba serta sebuah kenderaan dirampas dengan nilai keseluruhan RM229,000.

"Suspek seorang penganggur sudah bersuami dan disyaki pembekal dadah, namun tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan orang lain (pengedar dadah)," katanya pada sidang media Pelupusan Barang Kes Dadah Kontinjen Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Muhamad Zaki berkata suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan.

Dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan menangkap sebanyak 12,710 orang kerana pelbagai kesalahan bagi tempoh Januari hingga September lepas.

"Polis juga berjaya merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai lebih RM65 juta dan menyita aset pengedar dadah lebih RM3.3 juta.

"Selain itu, seramai 52 orang ditahan mengikut Seksyen ADB Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985," katanya.

Beliau berkata polis turut melakukan pelupusan dadah berjumlah 454,291.596 gram dan 2,952.145 liter pelbagai jenis dadah bernilai RM90,287,530.77 yang dirampas sejak 2006 hingga tahun ini melibatkan 2,368 kertas siasatan.

"Pelupusan dadah ini akan dilakukan esok (Khamis) di Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan," katanya.

-- BERNAMA