KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak melakukan sekatan jalan raya (SJR) di kawasan berbahaya seperti selepas bukit atau selekoh bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata polis mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang mesti dipatuhi oleh setiap anggota ketika menjalankan SJR.

Ia termasuk Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) dan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, ujar beliau.

"(Menjawab soalan asal) sekatan tidak dibuat di kawasan-kawasan berkenaan kecuali jika berlaku kes-kes kemalangan di kawasan tersebut iaitu di bukit atau selekoh.

"Jika ada, itu bukan sekatan jalan raya tetapi lebih kepada soal mengawal lalu lintas sehingga kes kemalangan itu selesai," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Sebelum itu, Pang Hok Liong (PH-Labis) minta menyatakan pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) walaupun boleh membuat sekatan SJR di mana-mana jalan, tetapi sekatan selepas bukit dan selekoh disifatkan agak membahayakan pengguna jalan raya.

Mengulas lanjut mengenai SOP, Shamsul Anuar (BN-Lenggong) berkata PTKPN A113 menetapkan SJR perlu didirikan di lokasi, di mana kedua-dua belah jalan adalah luas, dan boleh digunakan sebagai tempat memeriksa serta tidak menyebabkan kesesakan jalan raya.

"Arahan PTKPN A113 turut menetapkan jumlah keanggotaan yang bertugas di SJR hendaklah terdiri daripada empat pegawai rendah polis yang bertanggungjawab terhadap pengawasan dan pemeriksaan kenderaan serta mengawasi aliran trafik," ujarnya lagi.

Dalam masa sama, beliau berkata pelaksanaan SJR antaranya memerlukan peralatan seperti papan tanda berukuran tiga kaki enam inci berwarna putih dengan perkataan 'berhenti pemeriksaan polis', dengan sekurang-kurangnya satu lampu VC.