Polis menegaskan bahawa pihaknya tidak akan sewenang-wenangnya melepaskan tembakan sehingga menyebabkan kematian, sebaliknya akan berusaha untuk melakukan tangkapan.

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Datuk Mazlan Mansor perkara ini jelas dibuktikan menerusi statistik pihak polis yang ada.

Bagi tempoh Januari 2011 hingga September 2013, sejumlah 503 penjenayah bersenjata api yang telah berjaya ditangkap tanpa insiden tembak-menembak.

polis

Dalam tempoh yang sama juga, seramai 94 penjenayah ditembak mati susulan tindakan mereka menyerang polis.

“Berdasarkan jumlah tangkapan yang besar berbanding penjenayah memiliki senjata api yang ditembak mati, membuktikan pasukan polis bertindak mengikut prosedur tetap," kata Mazlan.

"...bukan sewenang wenangnya (polis) melepaskan tembakan bagi menyebabkan kematian dan sebaliknya berusaha untuk melakukan tangkapan."

polis

Sementara itu, Mazlan berkata dalam tempoh 2011 hingga 2013, polis telah merampas sebanyak 573 senjata api.

Statistik rampasan itu tidak melibatkan senjata hilang yang disebut dalam Laporan Audit 2012.

polis