KANGAR:Polis Diraja Malaysia menubuhkan pasukan khas bagi proses membawa tiga suspek warga Thailand yang dipercayai terbabit dalam kejadian serangan terhadap anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) baru-baru ini, ke Malaysia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, semua mereka termasuk seorang yang dikenal pasti sebagai ketua sindiket diperlukan bagi melengkapkan siasatan.

"Pasukan khas berkenaan juga akan terlibat dalam proses perbincangan bersama pihak Kedutaan Malaysia di Bangkok, Polis Diraja Thailand dan Jabatan Peguam Negara dalam usaha membawa suspek terbabit ke Malaysia.

"Bagi kita amat penting untuk ketiga-tiga suspek ini amat penting. Seorang daripada mereka kita percaya memainkan peranan sebagai perancang.

"Mereka akan diambil tindakan di Malaysia kerana dipercayai bertanggungjawab dalam insiden itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mesyuarat bersama Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis pada Rabu.

Huzir berkata, buat masa ini, PDRM belum menerima sebarang pemakluman lanjut daripada Polis Diraja Thailand mengenai keputusan permohonan untuk membawa ketiga-tiga suspek ke Malaysia.

Dalam perkembangan sama berkaitan kes itu, beliau mengesahkan PDRM telah menahan 22 suspek termasuk empat warga Thailand bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 dan 307 Kanun Keseksaan kerana membunuh serta cubaan membunuh.

Huzir tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi suspek yang akan ditahan dalam masa terdekat selain berharap agar operasi besar-besaran yang dijalankan dapat memberi kesan yang positif.


Pada 24 November lalu, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, anggota PGA yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand, Padang Besar, terkorban akibat ditembak kumpulan penyeludup.

Rakannya, Sarjan Norihan Tari, 39, pula mengalami kecederaan parah terkena tiga tembakan.