Skip to main content

Malaysia

Polis tumpas sindiket penyelewengan diesel bersubsidi bernilai lebih RM600,000

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Polis menumpaskan sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi dengan penahanan lapan individu menerusi Ops Taring Bravo 1 di tiga premis kilang di Shah Alam dan Sungai Buloh, Selangor, semalam.
Mohd Zaki berkata operasi yang disertai MBSA dan MBPJ itu merampas dua lori tangki, tangki Intermediate Bulk Container (10), mesin pam dan hos (enam) serta tangki skid dengan nilai keseluruhan berjumlah RM1,827,712. - Gambar PDRM

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi dengan penahanan lapan individu menerusi Ops Taring Bravo 1 di tiga premis kilang di Shah Alam dan Sungai Buloh, Selangor, semalam.

Komander Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Mohd Zaki Ashar berkata serbuan pada 3.50 petang melibatkan rampasan 124,950 liter diesel bersubsidi bernilai RM645,632.

Advertisement

Beliau berkata lapan ditahan terdiri daripada enam rakyat tempatan dan dua warga asing berusia 27 hingga 56 tahun yang berperanan sebagai pengawal keselamatan, pengurus, penyelia dan pekerja kilang selain pemandu dan kelindan lori tangki serta penjaga stor.

“Sindiket ini dikesan menjalankan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi dengan licik dengan memanipulasi rantaian bekalan bagi mengaut keuntungan luar biasa.

“Lebih membimbangkan, sindiket ini turut beroperasi secara agresif dengan mengedarkan semula diesel bersubsidi itu ke pasaran industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaki berkata modus operandi sindiket yang aktif sejak awal 2026 ialah mengumpul bekalan diesel bersubsidi secara berperingkat di sekitar Selangor sebelum menyeludup keluar untuk dijual secara pukal, iaitu 5,000 liter pada RM4 bagi setiap liter kepada pihak ketiga selaku pusat pengumpulan dan penyimpanan.

“Seterusnya minyak diesel akan dijual dan diedarkan semula dalam kuantiti 5,000 hingga 6,000 liter pada harga RM4.80 hingga RM5 per liter setiap hari kepada beberapa syarikat perindustrian dan pembinaan di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Beliau berkata operasi yang disertai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu merampas dua lori tangki, tangki Intermediate Bulk Container (10), mesin pam dan hos (enam) serta tangki skid dengan nilai keseluruhan berjumlah RM1,827,712.

Mohd Zaki berkata semua rampasan, tangkapan dan sitaan minyak diesel bersubsidi diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Tangkapan membabitkan dua warga asing diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh bagi siasatan dan tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video