NILAI: Polis menumpaskan tujuh sindiket dianggotai 47 individu yang terlibat mencuri kabel dan peralatan serta pecah masuk premis telekomunikasi di daerah ini dari Januari hingga 30 Sept melibatkan kerugian kira-kira RM4.5 juta.
Ketua Polis Daerah Nilai Superintenden Johari Yahya berkata mereka berusia 17 hingga 58 tahun ditahan di sekitar Nilai dan Lembah Klang terdiri daripada kumpulan antaranya Geng Roy TM, Geng Krol Copperstrip, Geng Subcon Amazon, Geng Leong Kabel, Geng Usop Klang serta Geng Intheren Kabel IPG.
Beliau berkata modus operandi kumpulan tersebut adalah memecah masuk kawasan pencawang telekomunikasi termasuk dengan menyamar sebagai anggota syarikat telekomunikasi untuk mencuri kabel tembaga di pencawang dan premis, dram kabel serta komponen lain.
“Antara barangan yang menjadi sasaran ialah kabel milik syarikat telekomunikasi, kabel tembaga, slot kad telekomunikasi, Unit Radio Jarak Jauh (RRU) dan konduktor kilat.
“Kegiatan itu bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada syarikat telekomunikasi, tetapi juga menjejaskan kemudahan rangkaian dan menyebabkan gangguan perkhidmatan kepada pengguna,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di sini hari ini.
Johari berkata polis turut merampas gulungan kabel, jalur tembaga konduktor kilat, peralatan memotong seperti pisau sabit, playar dan gunting, beg, guni serta kereta dan motosikal yang disyaki digunakan dalam kegiatan itu.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 379, Seksyen 457, Seksyen 511 dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan serta Subseksyen 235(1) atau Subseksyen 235(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Selain itu, Johari berkata kes bagi kecurian kabel meningkat daripada 50 kes tahun lepas kepada 72 kes pada tahun ini bagi tempoh yang sama.
Dalam perkembangan berasingan, Johari berkata polis menahan lima wanita termasuk tiga warga asing berusia 28 hingga 32 tahun di sebuah hotel bajet di sini kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pelacuran dalam talian menerusi Ops E-Noda pada bulan lepas.
Beliau berkata suspek dipercayai menggunakan aplikasi dalam talian seperti WeChat dan MiChat untuk mencari serta berhubung dengan pelanggan bagi menawarkan perkhidmatan seks berbayar.
“Dalam tindakan penguatkuasaan itu, polis merampas kondom, telefon bimbit, minyak pelincir serta wang tunai berjumlah RM1,188,” katanya.
Beliau berkata kegiatan itu dikesan sejak tiga bulan lepas dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 372(1)(e) dan Seksyen 372(1) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang dibaca bersama Seksyen 233(2) akta sama.
-- BERNAMA