Polis tumpaskan sindiket edar dadah bernilai RM13.8 juta, enam lelaki ditahan

Datuk Hussein Omar Khan berkata serbuan menyaksikan penahanan enam lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 26 hingga 46 tahun termasuk seorang bekas anggota polis. - Foto Sinar Harian
PETALING JAYA: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis methamphetamine dan ketamin yang bernilai RM13.8 juta menerusi dua siri serbuan di sekitar Lembah Klang dan Perak pada 1 Sept lepas.
Ringkasan AI
- Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah methamphetamine dan ketamin bernilai RM13.8 juta di Lembah Klang dan Perak, menjalankan serbuan yang berjaya menahan enam lelaki tempatan termasuk bekas anggota polis.
- Bekalan dadah tersebut dibawa masuk dari negara jiran melalui Perlis menggunakan "laluan tikus" sebelum diarahkan ke pasaran tempatan di Lembah Klang, dengan anggaran mampu menampung 1.7 juta penagih.
- Suspek yang ditahan positif dadah jenis ganja dan methamphetamine, dengan beberapa mempunyai rekod kes jenayah dan dadah lampau, sementara aset sindiket bernilai RM140,000 turut disita termasuk kenderaan pacuan empat roda.
"Dalam serbuan tersebut, polis menahan lima suspek dan merampas 263 bungkusan plastik disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 273 kilogram (kg) dan 98 bungkusan plastik disyaki ketamin seberat 101 kg," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
"Siasatan mendapati bekalan dadah tersebut dibawa masuk dari negara jiran di sebelah utara melalui Perlis menggunakan "laluan tikus" yang boleh dilalui oleh kenderaan pacuan empat roda.
"Bekalan itu kemudiannya dibawa ke Lembah Klang untuk pasaran tempatan dan jumlah rampasan dianggarkan mampu menampung kegunaan seramai 1.7 juta penagih," katanya.
Hussein berkata hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek pertama dan kedua positif dadah jenis ganja, manakala suspek ketiga dan keempat positif methamphetamine.
"Semakan rekod jenayah mendapati suspek kedua hingga keenam mempunyai rekod lampau, termasuk suspek keempat yang mempunyai 12 rekod kes dadah dan empat kes jenayah," katanya.
Beliau berkata kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula Selasa lepas hingga Ahad bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, selain dadah, polis turut menyita aset sindiket bernilai RM140,000 yang terdiri daripada dua kenderaan pacuan empat roda dan sebuah kenderaan utiliti sukan.
Polis menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah yang menjadi musuh nombor satu negara, katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


