Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Polis utamakan keselamatan, ketenteraman awam susulan perkembangan semasa di N. Sembilan

51759448372_tbAlzafnyAhmad.jpg
Alzafny berkata, PDRM tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan yang melanggar undang-undang, mencetuskan provokasi, atau ketenteraman awam. - Gambar fail
Advertisement

SEREMBAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Polis Kontinjen Negeri Sembilan terus mengutamakan keselamatan dan ketenteraman awam susulan perkembangan semasa di negeri berkenaan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, PDRM mengambil maklum kenyataan Jabatan Peguam Negara berhubung proklamasi bertarikh 19 April lepas dan menghormati proses Perlembagaan dan perundangan yang sedang berjalan tanpa membuat sebarang penentuan di luar bidang kuasanya.

“PDRM telah melaksanakan pengurusan akses ke Pejabat Wisma Negeri terhadap bekas barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (AMMK) Negeri Sembilan sejurus pengumuman pembatalan pelantikan yang dibuat oleh pihak Istana Negeri Sembilan.

“Tindakan ini bagi memastikan aspek keselamatan, ketenteraman awam dan kelancaran urusan di premis berkenaan terus terpelihara,” menurutnya dalam kenyataan, di sini, pada Khamis.

Beliau juga berkata, penempatan polis di beberapa lokasi termasuk Galeri Diraja Tuanku Ja’afar, Balai Undang Luak Sungei Ujong dan Wisma Negeri pada Rabu adalah bagi memelihara keselamatan awam.

Alzafny berkata, sebarang kawalan akses di lokasi berkaitan dilaksanakan secara terkawal berdasarkan penilaian keselamatan semasa dan keperluan pengurusan premis selain bagi mengelakkan sebarang keadaan yang boleh mencetuskan ketegangan atau menjejaskan ketenteraman awam.

Beliau berkata, tindakan itu tidak seharusnya ditafsirkan sebagai PDRM memihak atau memberikan pengiktirafan kepada mana-mana pihak dalam perkara yang sedang melalui proses Perlembagaan dan perundangan.

“Sebagai agensi yang bertanggungjawab memelihara keamanan dan menguatkuasakan undang-undang, PDRM akan terus melaksanakan tugas secara profesional, adil dan berlandaskan undang-undang tanpa memihak kepada mana-mana pihak,” katanya.

Beliau berkata, PDRM tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan yang melanggar undang-undang, mencetuskan provokasi, mengganggu ketenteraman awam atau mengancam keselamatan mana-mana individu dan institusi.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement