LARUT: Polis yakin tiga lelaki yang dipercayai terbabit dengan kes samun bersenjata di sebuah kedai runcit di Taman Klebang Ria, Chemor dekat Ipoh pada Ahad lepas, yang videonya tular menerusi media sosial, masih berada di dalam negara.
Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata siasatan secara terperinci sedang dijalankan termasuk meneliti rakaman video kejadian serta menjejaki pergerakan semua suspek yang masih bebas.
“Buat masa ini, kita turut mengesyaki ketiga-tiga suspek mempunyai kaitan dengan satu kes samun bersenjata yang berlaku di Nibong Tebal (di Pulau Pinang), baru-baru ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Selama dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Selama serta Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama di sini, hari ini.
Noor Hisam berkata polis memandang serius kejadian itu yang disifatkan mampu menjejaskan ketenteraman awam dan meminta orang ramai supaya segera menghubungi pihak berkuasa jika mempunyai maklumat berkaitan ketiga-tiga suspek.
Semalam, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Muhammad Najib Hamzah memaklumkan polis telah mengenal pasti tiga lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes samun bersenjata di sebuah kedai runcit di Taman Klebang Ria, Chemor, Ahad lepas dan dipercayai turut terlibat dalam jenayah sama di sebuah kedai serbaneka di Nibong Tebal.
Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Klang Selatan Superintendan Ramzi Mahmudin dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Selama berkuat kuasa pada hari ini menggantikan ACP Sarudin Samah yang dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Shah Alam bermula pada 9 Jun ini.
Majlis serah terima tugas itu disaksikan oleh Noor Hisam yang juga Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman.
-- BERNAMA