BAGAN DATUK: Politeknik Bagan Datuk yang dibina dengan kos sebanyak RM175 juta bakal beroperasi awal Januari tahun depan, kata Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan) Badioezaman Ab Khalik.

Beliau berkata pembinaan politeknik di kawasan seluas 30 ekar itu telah bermula pada 30 Nov 2017 dan siap sepenuhnya pada awal Oktober lepas.

"Projek ini telah berjaya disiapkan walaupun sedikit tersasar daripada tarikh dijadualkan. Semenjak pembinaan projek ini pada 2017, pelbagai isu dan cabaran yang telah dihadapi oleh pihak kontraktor dan JKR.

"Namun, berkat komitmen yang tidak berbelah bahagi semua pihak, semua kesusahan dan permasalahan itu berjaya diharungi dengan baik sehingga membolehkan projek ini disiapkan," katanya dalam teks ucapan pada majlis Penyerahan Politeknik Bagan Datuk di sini, pada Jumaat.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Pembinaan Pasukan Projek Khas 1 Jabatan Kerja Raya (JKR) Suzanna Punari.

Terdahulu, Suzanna menandatangani dokumen penyerahan politeknik kepada Timbalan Setiausaha Bahagian (Pembangunan) Kementerian Pendidikan Malaysia Dr Fary Akmal Osman.

Kampus yang dilengkapi kemudahan seperti bangunan pentadbiran, bengkel, makmal, dewan kuliah, asrama dan perpustakaan itu dijangka mampu menampung kapasiti 1, 200 pelajar yang melanjutkan pelajaran di peringkat Diploma dalam bidang Teknologi Maritim.

"Difahamkan politeknik ini telah menawarkan program Diploma Senibina Kapal dan dua program baharu pada 2024 iaitu Diploma Teknologi Kejuruteraan Pembinaan Marin dan Diploma Teknologi Kejuruteraan Elektrik Marin," katanya.

Badioezaman berkata pihaknya berharap kewujudan kampus tersebut akan memberi nilai tambah khususnya dalam memperkasakan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini.

"Saya turut berharap ia akan memainkan peranan yang penting dalam melahirkan tenaga kerja yang cekap, berkemahiran dan menyumbang kepada pembangunan negara serta memenuhi keperluan pasaran kerja semasa," katanya.

-- BERNAMA