Skip to main content

Malaysia

Politik boleh berbeza tetapi hak rakyat tidak boleh dibezakan - Ramanan

KUALA LUMPUR, 23 Jun -- Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berucap pada Majlis Penyerahan Geran Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) Tahun 2026 Peringkat Semenanjung Malaysia di Sunway Putra hari ini._BERNAMA
Ramanan berkata pendekatan Anwar dalam memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri membuktikan kepentingan serta kebajikan rakyat mengatasi perbezaan politik. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perbezaan politik tidak pernah menjadi penghalang kepada Kerajaan MADANI untuk membantu rakyat, termasuk di negeri yang ditadbir pembangkang, kata Naib Presiden PKR Datuk Seri R. Ramanan.

Beliau berkata pendekatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri membuktikan kepentingan serta kebajikan rakyat mengatasi perbezaan politik.

“Politik kita mungkin berbeza, tetapi rakyat tetap rakyat Malaysia. Apabila pilihan raya selesai, tanggungjawab kerajaan adalah untuk bekerja dan berkhidmat kepada semua.

“Tidak kira sesebuah negeri itu ditadbir Kerajaan Perpaduan atau pembangkang, apabila melibatkan kepentingan rakyat, pintu rundingan mesti sentiasa terbuka,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam, Anwar berkata Kerajaan Persekutuan akan terus memperkukuh kerjasama dan kebersamaan dengan Kerajaan Negeri Kelantan demi kepentingan serta kesejahteraan rakyat negeri itu.

Ramanan yang juga Menteri Sumber Manusia berkata pendekatan itu turut diterjemahkan menerusi peningkatan pemberian Persekutuan kepada kerajaan negeri bagi memastikan pembangunan dapat dilaksanakan dan manfaatnya sampai kepada rakyat.

Beliau berkata Perdana Menteri sebelum ini turut menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak boleh mengurangkan perhatian kepada sesebuah negeri hanya kerana ia mempunyai pentadbiran politik yang berbeza.

Katanya kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan negeri penting dalam menangani isu yang memberi kesan langsung kepada rakyat termasuk bekalan air, tebatan banjir, jalan raya, kemudahan asas, peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi.

“Rakyat tidak mahu melihat kerajaan bertelagah tanpa penghujung. Rakyat mahu masalah mereka diselesaikan.

“Kemakmuran negara adalah untuk rakyat. Pembangunan negara adalah untuk rakyat. Kerajaan mesti memastikan tidak ada rakyat Malaysia yang tertinggal hanya kerana warna politik kerajaan negeri mereka berbeza,” katanya. 

Ramanan berkata pendekatan yang diambil Perdana Menteri turut mencerminkan politik yang lebih matang, iaitu bersaing ketika pilihan raya tetapi bekerjasama apabila melibatkan kepentingan negara dan rakyat.

“Ini yang perlu kita bina dalam Malaysia. Kita boleh berbeza pandangan dan berdebat mengenai dasar, tetapi apabila melibatkan kesejahteraan rakyat, kita mesti mampu duduk semeja.

“Ukuran sebuah kerajaan bukan siapa yang menang dalam pertelingkahan politik, tetapi berapa banyak masalah rakyat yang berjaya kita selesaikan. Dalam soal ini, rakyat mesti sentiasa menjadi pemenang,” katanya. 

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement