KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) telah melancarkan koleksi setem terbaharunya bertajuk 'Lembu Ternakan Baka Malaysia' yang boleh dibeli di laman sesawang e-dagang Pos Malaysia di www.pos.com.my, 13 Pejabat Pos Besar dan pejabat pos terpilih di seluruh negara.

Pos Malaysia dalam kenyataan semalam memaklumkan siri setem itu menampilkan empat reka bentuk menarik dengan sebanyak 250,000 keping dikeluarkan untuk setiap reka bentuk dalam denominasi RM1.30 setiap satu.

Menurut Pos Malaysia, baka lembu yang ditampilkan dalam siri itu ialah Lembu Bali, Lembu Kedah-Kelantan, Lembu Nelore dan Lembu Brahman.

Koleksi itu turut menampilkan Lembaran Mini (MS), yang dicetak dengan potongan terap 'die-cut' dan cap emas panas serta kemasan timbul untuk menyerlahkan bentuk lembu pada setem dengan jumlah terhad 20,000 salinan dan boleh dibeli pada harga RM5 sekeping.

Ketua Kumpulan Pengurusan Saluran dan Pengalaman Pelanggan Pos Malaysia Berhad Azmil Othman Merican berkata pihaknya berbangga dapat mempersembah baka lembu asal Malaysia melalui koleksi setem baharu itu dan pada masa sama, menunjukkan sokongan mereka kepada industri ternakan negara.

Azmil berkata ketika ramai pengguna mencari produk ternakan yang diimport kerana kualitinya, Pos Malaysia mahu orang ramai mengetahui bahawa lembu baka tempatan turut menawarkan kualiti setanding atau lebih baik serta popular untuk pelbagai tujuan.

"Antara yang paling terkenal ialah Lembu Kedah-Kelantan, Nelore, Bali dan Brahman. Siri setem ini menonjolkan peranan penting lembu dalam sejarah manusia yang telah dijinakkan ribuan tahun dan biasanya dibiakkan sebagai ternakan untuk daging, susu dan kulitnya, yang digunakan untuk menghasilkan produk kulit.

"Siri ini dan koleksi lain Pos Malaysia bertujuan memberikan faedah pendidikan serta maklumat terutama kepada generasi muda dan kami akan terus melakukannya pada tahun-tahun akan datang," menurutnya dalam kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut sebanyak 25,000 keping Sampul Surat Hari Pertama (FDC) turut dikeluarkan dan boleh dikumpul pada harga 50 sen setiap satu manakala pelanggan boleh mendapatkan kedua-dua FDC dan MS pada harga hanya RM5.50 atau FDC dengan setem pada RM5.70.

"Folder tersebut turut dijual berasingan pada harga RM6 setiap satu dan hanya ditawarkan dalam kuantiti sebanyak 1,500 dengan mereka yang ingin mengumpulkan set lengkap boleh membelinya pada harga RM48.20," menurut kenyataan itu.

Pengumpul setem dan orang ramai boleh membuka Akaun Deposit Arahan Tetap (SODA) untuk memudahkan pembelian koleksi setem terkini serta menikmati faedah eksklusif yang ditawarkan SODA.

Menurut kenyataan itu, mereka yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada komuniti SODA boleh mendaftar di mana-mana pejabat pos seluruh negara ataupun secara dalam talian di www.posonline.com.my.

Untuk pertanyaan lanjut mengenai setem dan produk filateli lain, Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia boleh dihubungi menerusi talian 03-2267 2267 sambungan 2000 atau e-mel sebarang pertanyaan ke [email protected].

-- BERNAMA