PEKAN: Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) di KotaSAS, Kuantan yang menempatkan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri dijadual mula beroperasi pada September ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata pemindahan pejabat SUK itu akan dilakukan secara berperingkat dengan fasa pertama antara lain melibatkan pejabat pentadbiran tertinggi kerajaan negeri seperti pejabat Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.

"Kerja ke arah itu sedang giat dilaksanakan dan kita yakin semuanya berjalan mengikut jadual dan dapat disiapkan sebelum tarikh ditetapkan," katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Blok Bangunan Baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Acheh di sini hari ini.

Wan Rosdy juga memaklumkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan untuk menyempurnakan perasmian pusat pentadbiran itu pada 25 Sept ini.

PPAS yang sebelum ini dilaporkan bernilai RM415.5 juta merupakan pusat pentadbiran baharu kerajaan negeri bagi menggantikan Wisma Sri Pahang yang telah digunakan sejak 1967.

Kompleks pentadbiran itu dibangunkan dengan reka bentuk yang diilhamkan daripada jata negeri Pahang dengan mengaplikasikan teknologi hijau.

Sementara itu, mengulas mengenai blok baharu SK Kampung Acheh, Wan Rosdy berkata bangunan bernilai RM5.69 juta itu siap pada April lepas selepas pembinaannya bermula pada Jun 2020, bagi menggantikan bangunan lama yang diperbuat daripada kayu.

"Sekolah ini adalah bukti kerajaan Persekutuan tidak pernah meminggirkan mana-mana sekolah termasuk yang kurang muridnya bagi memastikan mereka belajar dalam situasi yang selesa," katanya.

-- BERNAMA