GEORGE TOWN: Pulau Pinang berada di kedudukan ke-69 daripada 402 bandar paling selamat di dunia berdasarkan laporan antarabangsa Numbeo 2026, dengan Skor Indeks Jenayah 28.9 dan Indeks Keselamatan 71.1.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pencapaian itu memberi gambaran positif mengenai tahap keselamatan semasa di negeri itu, selain mencerminkan keyakinan rakyat untuk menjalani kehidupan seharian dalam suasana aman dan terjamin.
"Hari ini saya menerima taklimat keselamatan daripada Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Dennis Lim Kwang Keng. Berdasarkan taklimat yang diterima, situasi keselamatan dan ketenteraman awam di Pulau Pinang kekal aman, stabil serta terkawal.
"Tiada sebarang insiden dilaporkan yang boleh menjejaskan kestabilan serta keharmonian negeri malah lebih membanggakan, berdasarkan laporan Numbeo 2026, Pulau Pinang berada di kedudukan ke-69 daripada 402 bandar paling selamat di dunia, dengan Skor Indeks Jenayah 28.9 dan Indeks Keselamatan 71.1," katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Turut hadir dalam taklimat itu ialah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Zailanni Amit dan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) negeri SAC Helmi Aris.
Chow berkata kerajaan negeri akan terus memberi perhatian serius terhadap isu keselamatan dan ketenteraman awam, khususnya perkara yang menyentuh sensitiviti kaum serta agama.
Beliau berkata kerajaan negeri juga mahu Pulau Pinang terus menjadi sebuah negeri yang bukan sahaja maju dari segi ekonomi dan pembangunan, tetapi juga aman untuk didiami, selamat untuk keluarga serta harmoni untuk semua.
"Keamanan adalah tanggungjawab bersama, kerajaan, pasukan keselamatan dan seluruh masyarakat mempunyai peranan untuk memastikan keharmonian yang kita nikmati hari ini terus dipelihara.
"Pulau Pinang mesti terus menjadi tempat yang diyakini rakyat untuk hidup, bekerja dan membina masa depan," katanya.
Numbeo antara pangkalan data kos sara hidup terbesar di dunia dan sumber global untuk data kualiti hidup.
-- BERNAMA