JOHOR BAHRU: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (Persada) yang dilaporkan sesak pada Khamis kembali terkawal.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesesakan yang berlaku semalam berpunca daripada peningkatan pemberian vaksinasi daripada 6,000 dos kepada 8,000 dos sehari.

Beliau berkata, faktor lain yang turut menyumbang pada kesesakan itu juga disebabkan terdapat penerima yang datang tidak mengikut masa yang ditetapkan.

Tidak ketinggalan, kata Ayob Khan, faktor cuaca berikutan hujan menyebabkan orang ramai berkumpul beramai-ramai di dalam khemah.

"Ketidakselarasan bagi penerima vaksin untuk menurunkan dan mengambil penumpang bagi tujuan vaksinasi juga menjadi salah satu punca kesesakan tersebut.

"Penyelarasan telah dibuat dan keadaan pada hari ini dalam keadaan yang terkawal dan memuaskan," kata beliau selepas mengadakan pemantauan di PPV Persada, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu pula menasihatkan penerima vaksin hadir mengikut ketetapan yang diberikan.

"Yang penting mereka kena ikut masa temu janji," katanya ketika dihubungi

Dalam pada itu, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad memaklumkan, beliau telah meminta agensi berkaitan untuk menambah kaunter pendaftaran dan laluan khas bagi golongan warga emas di PPV terbabit.

"Polis Diraja Malaysia akan mengawal aliran trafik dengan lebih teratur manakala aplikasi MySejahtera perlu menjadualkan waktu suntikan dengan lebih efektif. Perkara ini tidak akan berlaku lagi," katanya dalam hantaran di akaun Twitternya. 

Hasni berkata demikian sebagai menjawab keluhan masyarakat berhubung kejadian semalam yang mana orang awam berkumpul beramai-ramai di PPV terbabit untuk mendapatkan suntikan.

Bahkan, sekumpulan warga emas juga dikesan turut sama beratur selain sejumlah penerima lain pula terpaksa bersesakan di dalam khemah yang sama untuk berteduh daripada hujan.