KUALA LUMPUR: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) menutup tirainya pada Selasa setelah hampir dua bulan beroperasi sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi sejak 15 Januari lepas.

Sepanjang tempoh itu, lebih 180,000 individu telah divaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Penggalak (Booster) dan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, melihat kepada reaksi orang ramai, pihaknya berbesar hati dengan kejayaan PPV Integrasi ini demi memberi memberi perlindungan imuniti optimum kepada orang ramai mendepani jangkitan COVID-19 termasuk ancaman varian Omicron.

"Saya juga mendapat maklum balas daripada orang ramai agar pihak kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat mempertimbangkan agar PPV  Integrasi akan dapat terus dibuka pada masa akan datang.

"Pada masa sama, pihak WTCKL mengalu-ngalukan sekiranya diberikan peluang untuk dijadikan PPV Integrasi pada masa akan datang," katanya kepada Astro AWANI pada Selasa.

Di samping itu, Irmohizam turut berterima kasih kepada anggota badan pasukan uniform Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVAC) bagi memastikan kelancaran dan juga keselesaan penerima vaksin di PPV tersebut.

"Semoga ia akan meletakkan Malaysia di satu teras antarabangsa terutama sekali dalam memastikan lokasi WTCKL sebagai lokasi  destinasi selamat bagi mereka yang ingin berurusan sama ada lokasi konvesyen, pameran bahkan juga acara-acara lain bagi memberikan impak kepada ekosistem bahkan tahap sosial komuniti rakyat Malaysia," katanya.