KUALA LUMPUR: Bermula esok, premis kedai makan dan restoran dibenarkan beroperasi sehingga jam 10 malam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, operasi premis makanan juga dibenarkan mula beroperasi seawal jam 6 pagi.

Menurutnya, keputusan terbaharu itu dibuat selepas mengambil kira rayuan dan pandangan pengusaha kedai makan.

"Sebelum ini, operasi melibatkan premis kedai makan dan restoran hanya dibenarkan bermula jam 8 pagi sehingga 8 malam.

"Setelah mengambil kira rayuan dan pandangan pengusaha kedai makan, sidang mesyuarat bersetuju untuk menukar waktu operasi premis yang menjual makanan bermula jam 6 pagi hingga 10 malam berkuat kuasa 28 Jun 2021," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad. 

Sebelum ini, premis makanan hanya dibenarkan beroperasi selama 12 jam, bermula 8 pagi hingga 8 malam.

Begitupun, banyak pihak merayu supaya premis itu dibuka sehingga jam 10 malam untuk kemudahan peniaga dan pelanggan.

Astro AWANI pada 22 Mei lepas melaporkan kerajaan memutuskan untuk mengehadkan operasi perniagaan di seluruh negara dari 8 pagi sehingga 8 malam sahaja bermula 25 Mei. 

Penguatkuasaan itu melibatkan seluruh negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dan Labuan.

Waktu operasi itu meliputi gerai makan, kenderaan bersaji, penjaja, gerai makan atau kiosk jualan makanan secara bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran, kedai runcit, kedai serbaneka, kedai keperluan harian dan kedai makanan haiwan.