KUALA LUMPUR: KementerianPerdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah melakukan serbuan ke atas tiga premis berasingan yang terletak di dalam sebuah pusat membeli-belah di Klang, Selangor yang menjual alat teknologi penstriman (android box) pada 11 April lalu.

Menurut Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam, serbuan yang bermula pada jam 12.00 tengah hari dengan kekuatan seramai 15 anggota penguat kuasa KPDNHEP Putrajaya dilakukan hasil daripada maklumat pemilik hak cipta yang berkaitan serta risikan yang telah dilakukan oleh pihaknya selama dua minggu.

"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas tiga premis terbabit, pihak KPDNHEP telah merampas sebanyak 25 unit alat teknologi penstriman berserta dokumen yang berkaitan dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM8,567.00.

"Pasukan serbuan juga telah bertindak menahan seramai tiga lelaki warganegara tempatan berumur antara 39 hingga 44 tahun untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah seksyen 43AA Akta Hak Cipta 1987 iaitu melakukan pelanggaran hak cipta dalam apa-apa karya dengan menjual suatu teknologi penstriman," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jika disabitkan kesalahan mereka boleh didenda tidak kurang daripada RM10,000.00 dan tidak melebihi RM200,000.00 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Pihak KPDNHEP juga telah menambahbaik Akta Hak Cipta 1987 melalui pindaan kepada Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 yang telah berkuatkuasa mulai 18 Mac 2022 lalu.

Ia memberi penekanan dalam usaha membanteras pelanggaran hak cipta secara dalam talian atau cetak rompak digital.

"Antara perubahan besar dalam pindaan ini adalah peruntukan baharu di bawah seksyen 43AA yang memperuntukkan kesalahan berhubung dengan penggunaan teknologi penstriman yang melanggar hak cipta dan peruntukan di bawah perenggan 41(1)(k) iaitu kesalahan menyediakan atau berkongsi akses apa-apa karya atau salinan karya tanpa kebenaran secara dalam talian," katanya lagi.

Pihak Kementerian turut  mengingatkan kepada semua peniaga supaya tidak menjual alat teknologi penstriman seumpama ini dan tindakan penguatkuasaan dan pemantauan yang berterusan akan dilakukan oleh pihak Kementerian.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku peniaga berhubung perkara ini boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak Kementerian melalui saluran berikut:

                                     i.  WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000
                                     ii.  Portal Aduan; e-aduan.kpdnhep.gov.my
                                    iii.  Call Centre 1-800-886-800
                                    iv.  Emel [email protected]
                                    v.  Ez ADU KPDNHEP