Syarikat yang mendapat pinjaman di bawah Skim Kredit Mikro Bank Simpanan Nasional, akan menikmati penurunan kadar faedah pinjaman dari 2% kepada 0%, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, inisiatif itu dirangka khusus untuk membantu meningkatkan lagi manfaat bantuan kepada PKS, dan pemansuhan kadar faedah itu dianggarkan berjumlah RM500 juta.

Selain itu, Muhyiddin berkata, skim pinjaman mudah untuk syarikat mikro ini juga dipanjangkan kepada TEKUN Nasional dengan had maksimum pinjaman sebanyak RM10,000 setiap syarikat pada kadar faedah 0%.

“Untuk tujuan ini, dana sebanyak RM200 juta akan disediakan. Pemohon hanya boleh memilih salah satu daripada skim ini bagi membolehkan lebih ramai peniaga menikmati kemudahan ini,” katanya lagi.

Perdana Menteri berkata demikian sewaktu sewaktu membentangkan Langkah Tambahan Bagi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN TAMBAHAN), hari ini, dengan peruntukan sebanyak RM10 bilion.

Ia merupakan tambahan kepada dana RM4.5 bilion khusus untuk PKS dan PKS mikro yang diumumkan beliau pada 27 Mac lepas.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan mengecualikan bayaran sewa, atau memberi diskaun sewaan untuk peniaga runcit PKS, bagi premis yang dimiliki oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Saya mengucapkan terima kasih kepada syarikat Kerajaan Persekutuan seperti MARA, PETRONAS, PNB, PLUS dan UDA serta beberapa syarikat milik Kerajaan Negeri yang telah bersetuju untuk memberi diskaun atau tidak mengenakan sewaan ke atas premis mereka khusus untuk penyewa PKS,” katanya lagi.

Muhyiddin berkata, atas prinsip perkongsian bebanan, beliau menggesa pemilik premis swasta untuk turut memberikan kemudahan yang sama, dengan mengurangkan kadar sewa premis mereka sekurang-kurangnya semasa waktu Perintah Kawalan Pergerakan, dan 3 bulan selepas PKP berakhir.

“Pemilik bangunan atau ruang perniagaan yang memberikan pengurangan atau pelepasan sewa kepada penyewa premis perniagaan, yang terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana, akan diberi potongan cukai tambahan bersamaan dengan amaun pengurangan sewa tersebut bagi bulan April 2020 hingga Jun 2020,” katanya lagi.

Muhyiddin berkata, potongan cukai tambahan itu diberikan tertakluk kepada syarat pengurangan sewa, iaitu hendaklah sekurang-kurangnya 30% daripada kadar sewa asal bagi tempoh tersebut.