NATIONAL
PRK Ayer Kuning: Ahmad Zahid puas hati kerjasama jentera BN, PH sepanjang kempen

Ahmad Zahid (tiga, kanan) ketika hadir pada perasmian Karnival RISDA MADANI (KARRISMA) Zon Utara Tahun 2025 di Dewan Datuk Mohamed Jamrah hari ini. -Bernama
BAGAN DATUK: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpuas hati dengan kerjasama erat antara jentera BN dan Pakatan Harapan (PH) sepanjang 14 hari kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Ringkasan AI
- Ahmad Zahid Hamidi berpuas hati dengan kerjasama erat antara jentera BN dan PH sepanjang kempen PRK DUN Ayer Kuning.
- Kemenangan BN bergantung kepada peratusan pengundi yang keluar mengundi, terutama pengundi Melayu dan Cina yang baru pulang dari perayaan.
- Sebanyak 19 pusat mengundi dengan 63 saluran dibuka serentak pada 8 pagi tadi bagi PRK DUN Ayer Kuning.
"(Bagaimanapun) kemenangan ini bergantung kepada peratusan pengundi yang akan keluar mengundi memandangkan ada dalam kalangan pengundi Melayu yang baru pulang dari kampung selepas Hari Raya, manakala pengundi Cina juga baru pulang dari perayaan Qingming," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Karnival RISDA MADANI (KARRISMA) Zon Utara Tahun 2025 di Dewan Dato' Mohamed Jamrah, Sungai Sumun, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar, Pengerusi RISDA Manndzri Nasib dan Ketua Pengarah RISDA Zainal Azni Zulkifli.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu turut berharap agar jentera parti dapat membantu menggerakkan pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka.
"Saya harap cuaca tidak hujan sehingga petang dan jentera dapat lakukan 'get out the voters'...saya harap mereka keluar rumah (untuk mengundi)," katanya.
Sebanyak 19 pusat mengundi dengan 63 saluran telah dibuka serentak pada 8 pagi tadi bagi PRK DUN Ayer Kuning.
Proses pengundian hari ini melibatkan 31,281 pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat baharu kawasan tersebut.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami