NATIONAL
PRK Ayer Kuning buka gelanggang esok

SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN itu pada 26 April, sementara pengundian awal pada 22 April. -Gambar fail/Bernama
TAPAH: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning akan bermula esok dengan proses penamaan calon di Dewan Merdeka Tapah di sini.
Ringkasan AI
- Proses penamaan calon PRK DUN Ayer Kuning bermula esok, dengan calon dari BN, PN, dan PSM telah diumumkan.
- Calon akan mempunyai 14 hari untuk berkempen sebelum hari pengundian pada 26 April.
- Sebanyak 778 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan pada hari penamaan calon.
Berdasarkan laman web Jabatan Meteorologi Malaysia, cuaca sepanjang proses penamaan dijangka hujan.
Sumber Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata tujuh borang pencalonan PRK Ayer Kuning telah dijual pada 11 pagi tadi.
Setakat ini, Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah mengumumkan calon masing-masing bagi merebut kerusi DUN itu.
BN meletakkan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah Dr Mohamad Yusri Bakir, 54, sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan.
Sementara PN pula mengumumkan Pengerusi PN Tapah Abdul Muhaimin Malek, 44, dan PSM mencalonkan Timbalan Setiausaha Agung parti itu Bawani KS, 40.
Dalam pada itu, Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata sebanyak 778 pegawai dan anggota ditugaskan pada hari penamaan esok.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 58, selepas bermain bola sepak di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 25 Feb lepas.
SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN itu pada 26 April, sementara pengundian awal pada 22 April.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami