KUALA LUMPUR:Pelaksanaan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) baharu perlu dilaksanakan sekiranya Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi tetap diadakan pada 5 Disember ini bagi memastikan keselamatan para pengundi.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, setakat ini, pilihan raya itu perlu diteruskan seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan.

"Kes ini (PRK Batu Sapi) melibatkan Perlembagaan dan undang-undang, yakni ia tidak boleh diberhentikan kerana ia diperuntukan secara khusus dari segi undang-undang dan Perlembagaan kita.

"Saya fikir apa yang perlu dibuat adalah SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) menentukan parameter baharu yang menjadi panduan kepada mereka yang ingin bertanding dalam PRK Batu Sapi.

"SOP-SOP baharu seperti tiada kempen bersemuka dengan pengundi dan sebagainya dan kempen hanya boleh dibuat melalui media atau dari rumah. Ia boleh menghadkan, malah boleh mengurangkan pertemuan secara fizikal," katanya.

BACA: PRK Parlimen Batu Sapi: PBS tidak bertanding

Kerusi Parlimen Batu Sapi diisytiharkan kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) pada 2 Oktober lalu akibat jangkitan paru-paru.

SPR menetapkan 23 November ini sebagai hari penamaan calon, manakala 1 Disember hari undi awal dan hari pengundian pula pada 5 Disember depan.

Sebelum ini, dua parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) iaitu Barisan Nasional (BN) dan PBS mengumumkan tidak akan bertanding dalam PRK Batu Sapi.

Selain itu, Pakatan Harapan (PH) Sabah dan Parti Cinta Sabah (PCS) pimpinan bekas menteri persekutuan, Datuk Seri Anifah Aman yang turut mengambil keputusan untuk tidak bertanding.