Sebulan lagi, penamaan calon untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang akan berlangsung dan lebih kurang dua minggu kemudian, pengundi di DUN tersebut akan melaksanakan tugas mereka untuk memilih wakil rakyat yang baharu setelah Lee Chin Cheh dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) melepaskan jawatan yang dimenanginya pada PRU13 Mei lepas.

Apa saja alasan yang digunakan untuk mewajarkan pilihan raya kecil itu diadakan telah diberikan oleh pemimpin PKR terutama oleh Pengarah Strategi mereka, Rafizi Ramli yang mengaku beliau terlibat dalam merancang pengosongan kerusi DUN tersebut hingga membawa kepada akan berlakunya pilihan raya kecil di N.25 Kajang pada 23 Mac nanti.

Semuanya bermula dengan krisis antara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Rakyat Selangor dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang juga ADUN Bukit Antarabangsa. Sengketa antara dua pemimpin ini sudah lama (biarpun keduanya menafikan tetapi dalam politik yang dinafikan itu selalunya benar). Krisis yang sudah lama itu semakin parah bila Azmin disingkirkan dari Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Ketika krisis itu berlaku, ada pihak yang mengatakan ada desakan dari dalam PKR yang mahu supaya Abdul Khalid disingkirkan dan tempat beliau sebagai menteri besar diganti dengan pemimpin lain. Namun ia dinafikan oleh PKR menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail. Kemudian, tidak sampai seminggu berita itu tersebar dan penafian dibuat, ADUN Kajang, Lee Chin Cheh meletak jawatan. Hari yang sama, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditanya kemungkinan beliau akan diletakkan sebagai calon bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Kajang, namun ketua pembangkang itu menafikannya. Esoknya, PKR mengumumkan Anwar sebagai calon mereka dan Pakatan Rakyat yang akan bertanding di Kajang (mengesahkan lagi teori dalam politik jika berita itu dinafikan maka ianya benar).

Mahu tidak mahu, membazir atau tidak duit rakyat, wajar atau tidak pilihan raya kecil DUN Kajang diadakan, ianya sudah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). PKR sudah menamakan calon mereka, calon mereka bukan calang-calang, world class leader kata Azmin. Setakat ini, memang sudah sahih Anwar akan bertanding mewakili PKR dan Pakatan Rakyat di pilihan raya DUN Kajang. Yang dinanti-nantikan, siapa pula calon dari Barisan Nasional (BN) yang akan turun berentap dengan Anwar.

Setakat ini, BN menyerahkan tugas untuk berentap dengan PKR kepada MCA. Kerana kerusi tersebut sebelum ini ditandingi oleh MCA, maka parti itu akan terus diberi tugas untuk bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Kajang. Soalnya, apakah perlu BN mengekalkan sistem pengagihan kerusi yang selama ini digunakan atau menyerahkan kerusi yang ditandingi MCA sebelum ini kepada UMNO memandangkan peratus pengundi Melayu di DUN Kajang adalah 48 peratus.

Kalau diserahkan kepada UMNO, apakah parti terbesar orang Melayu itu mampu untuk menawan kembali kerusi DUN Kajang yang dirampas PKR sejak PRU12?

Mengulas perkara berkenaan, penganalisis politik, Prof Madya Dr Shahruddin Baharuddin berpendapat BN perlu kekal menyerahkan kerusi DUN Kajang kepada MCA kerana pengundi Cina yang mewakili 41 peratus pengundi di DUN itu masih merupakan penentu kepada kemenangan calon dan parti yang bertanding.

Namun katanya, biarpun calon dari MCA, ia bukan lah satu tugas yang mudah untuk menawan hati pengundi Cina kerana parti itu masih dilihat sebagai rakan kongsi UMNO. Hanya calon yang benar-benar berkaliber dan mampu bersaing dengan Anwar mampu menarik sokongan pengundi Cina.

"Sejak PRU13, pengundi Cina sudah membuat keputusan, mereka sudah menetapkan bahawa mereka menolak Barisan Nasional kerana adanya UMNO.

"Bagi orang Cina, UMNO dilihat terlalu dominan dalam BN dan MCA pula biarpun mewakili orang Cina tetapi dilihat sebagai tali barut UMNO.

"Kecuali jika ada perubahan besar dalam kepimpinan UMNO yang boleh meyakinkan pengundi Cina bahawa UMNO tidak lagi dominan, mungkin mereka akan mengundi BN," katanya kepada Astro AWANI.

Mengenai pengundi Melayu pula, Shahruddin berkata, Pakatan Rakyat juga tidak mempunyai masalah besar untuk memperolehi undi kerana hanya pengundi yang sememangnya penyokong UMNO sahaja akan menolak Anwar dan Pakatan Rakyat.

Beliau juga menjelaskan buat masa ini, Anwar semakin dekat dengan pengundi Melayu kerana setiap hari Ahli Parlimen Permatang Pauh itu turun bertemu pengundi dalam siri ceramah kelompok yang diadakan oleh PKR.

"Sejak namanya diumumkan sebagai calon, Anwar sudah mula turun dalam siri ceramah kelompok yang sememangnya sering diadakan oleh Pakatan Rakyat dan PKR.

"Kalau tidak ada pilihan raya kecil pun, ceramah kelompok ini sering diadakan, dan pendekatan ini lebih memudahkan untuk menarik sokongan pengundi.

"Berbeza dengan Barisan Nasional, calon belum ada, program pun tak buat, kalau ada pun sekali dua TPM turun, itu tidak cukup," katanya lagi.

Mengulas lanjut, Shaharuddin berkata pola pengundian di DUN kajang dijangka kekal seperti PRU13 lalu dan keputusan tidak akan banyak berubah.

Katanya jika peratus keluar mengundi mencecah 88 peratus seperti ketika PRU13, Anwar dijangka mampu untuk menang dengan majoriti yang lebih besar.

"Jika peratus keluar mengundi kurang dari 88 peratus, Anwar tetap akan menang tetapi majoritinya dijangka akan berkurang, tetapi kalau kekal 88 peratus, dengan momentum yang ada sekarang, Anwar mungkin boleh menang dengan majoriti yang lebih tinggi," katanya.

Dengan apa yang berlaku selepas PRU13 dan sehingga kini calon yang mewakili BN masih belum diumumkan, Anwar dilihat lebih selesa untuk memenangi pilihan raya kecil DUN Kajang. Apa yang perlu dilakukan oleh MCA ialah memilih seorang calon yang mampu untuk menyaingi Anwar.

BN perlu segera menamakan calon mereka biarpun kemenangan tidak mampu untuk menumbangkan Pakatan Rakyat di Selangor tetapi setidak-tidaknya ia boleh memberi isyarat bahawa rakyat sudah menerima kembali parti yang telah memerintah Malaysia lebih 50 tahun.

Namun dengan kenaikan kos sara hidup selepas PRU13, apakah mampu BN menawan hati pengundi di DUN Kajang? Hanya masa akan menentukan dan kepada Allah kita berserah.