Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor merayu jentera BN di Permatang Pauh dan juga di Rompin agar melaksanakan tanggungjawab sepertimana yang telah diarahkan oleh kepimpinan parti.

Ini memandangkan, cara dan corak pendekatan kempen yang digunakan di dalam pilihan raya kecil terbabit adalah berbeza dengan cara dan corak kempen yang digunakan semasa pilihan raya umum.

"Saya minta kepada semua jentera BN, baik di Permatang Pauh dan juga Rompin untuk turun padang bertemu dengan semua pengundi di kawasan masing-masing, tak kiralah samada pengundi itu menyokong kita atau pun tidak.

"Apa yang penting ialah mereka mesti bertemu dan bersemuka dengan para pengundi dan berikan penerangan serta penjelasan kepada mereka dalam beberapa isu, apatah lagi dalam keadaan hari ini timbul pelbagai isu yang dibangkitkan oleh puak-puak yang tidak bertanggungjawab.

"Kita lihat mutakhir ini ada puak-puak tertentu yang sengaja memutar belitkan segala perkara yang dilakukan oleh kerajaan demi kebaikan dan manfaat rakyat di negara ini.

"Justeru itu, saya merayu kepada jentera-jentera BN supaya turun padang, bertemu dengan pengundi dan berikan penerangan yang jelas kepada mereka dalam isu-isu yang berbangkit di dalam negara hari ini," jelasnya kepada UMNO Online di sini pada Sabtu.

Selain itu, beliau turut mengharapkan agar pengundi-pengundi di Permatang Pauh dan juga di Rompin agar melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi di kawasan masing-masing.

"Biarpun ini hanyalah satu pilihan raya kecil, namun ianya memberikan peluang kepada rakyat untuk memilih wakil bagi kawasan masing-masing. Kalau kita tidak mengambil endah, maka kita akan mendapat wakil rakyat yang tidak akan mempedulikan kawasan kita.

"Saya juga menyeru kepada semua pengundi di kedua-dua kawasan ini agar memberikan amanah kepada calon BN untuk mewakil kawasan mereka kerana ini akan memudahkan kerja-kerja yang dilakukan untuk rakyat kerana hari ini kerajaaan yang memerintah adalah kerajaan BN.

"Jadi, sudah pasti BN pusat akan memerhatikan serta mempastikan wakil BN di kedua-dua kawasan ini untuk melaksanakan segala perancangan pembangunan dan sebagainya demi kebaikan dan manfaat rakyat di kawasan tersebut," tegasnya.