BINTULU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan sebanyak 73 kertas undi pos kepada pemilih berdaftar yang layak termasuk anggota polis, bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak pada 4 Nov ini.

Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata pengeluaran kertas undi pos dilakukan petugas pilihan raya yang dilantik Pegawai Pengurus, semalam (23 Okt).

Sehubungan itu, tiada pusat mengundi awal akan dibuka pada 31 Okt ini.

"Kertas undi pos telah dikeluarkan terdiri daripada 70 Kategori 1A (petugas pilihan raya dan anggota polis), satu undi pos bagi kategori 1B (warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara), serta dua kategori 1C (agensi dan organisasi)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ikmalrudin berkata proses pengeluaran kertas undi pos itu juga dijalankan dengan kehadiran ejen undi pos daripada calon-calon bertanding.

"SPR mengingatkan kepada semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Perisytiharan Identiti (Borang 2), serta segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus berkenaan sebelum 5 petang pada hari mengundi, iaitu pada 4 Nov.

"Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial," katanya.

PRK Jepak menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Iskandar Turkee, calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang dan calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Chieng Lea Phing.

Pilihan raya kecil itu yang ditetapkan pada 4 Nov ini, diadakan susulan kematian penyandang kerusi Datuk Talib Zulpilip pada 15 Sept lepas.

-- BERNAMA