Peratusan keluar mengundi bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang menurun sebanyak 16 peratus berbanding ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Pada PRU13 sebanyak 87.9 peratus daripada jumlah keseluruhan 39,728 pengundi.

Sebaik sahaja 16 pusat pengundian ditutup pada 5 petang tadi, sebanyak 28,314 atau 72 peratus daripada 39,278 pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata jumlah peratusan keluar itu tidak menepati sasaran yang dijangka oleh SPR iaitu sebanyak 80 peratus.

"Sehubungan itu, SPR akan membuat kajian mengenai jumlah peratusan yang menurut dan dilihat paling rendah berbanding PRK di Kedah (DUN Sungai Limau) dan Terengganu (DUN Kuala Besut)," katanya pada sidang akhbar di Pusat Penjumlahan dan Pengumuman Keputusan PRK DUN Kajang di Stadium Majlis Perbandaran Kajang di sini hari ini.

Foto sepanjang hari pengundian Pilihan Raya Kecil DUN Kajang

Abdul Aziz berkata, keputusan DUN Kajang paling awal mungkin akan dapat diketahui pada pukul 8 malam.

Pilihan raya kecil DUN Kajang menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN), Datin Paduka Chew Mei Fun dengan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Pada PRU-13 lalu, calon PKR, Lee Chin Cheh yang memperoleh 19,571 undi dan menang dengan majoriti sebanyak 6,824.

Calon BN, Lee Ban Seng menerima 12,747 undi, sementara Mohamad Ismail (Berjasa) 1,014 undi dan tiga calon Bebas lain mendapat kurang daripada 250 undi.