BERA: Polis mengingatkan semua pihak supaya tidak menyentuh perkara yang boleh menganggu gugat ketenteraman awam termasuk isu 3R iaitu kaum, agama dan institusi diraja sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata pihak bertanding dalam PRK itu juga perlu memohon permit ceramah daripada polis bagi tujuan keselamatan selain tidak melakukan perbuatan seperti merosakkan bahan kempen pihak lawan.

Beliau berkata proses penamaan calon bagi PRK DUN Pelangai hari ini berjalan lancar dengan tiada insiden tidak diingini berlaku.

"Kita berharap semua calon yang bertanding dan penyokong parti untuk terus mematuhi peraturan pilihan raya dan undang-undang," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian Jambatan Guai di Kampung Seberang Guai di sini hari ini.

Selain itu, Yahaya juga menasihatkan parti bertanding agar tidak memasang poster, bendera atau bahan kempen di simpang jalan kerana perbuatan itu boleh menganggu pandangan dan membahayakan pengguna jalan raya.

PRK DUN Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Datuk Amizar Abu Adam yang mewakili Barisan Nasional (BN), Kasim Samat (Perikatan Nasional) dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 7 Okt ini manakala 3 Okt sebagai tarikh pengundian awal.

Ditanya perkembangan siasatan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka Shahril Azman Abd Halim dari parti PAS berhubung dakwaan memainkan sentimen 3R di akaun TikTok baru-baru ini, Yahaya berkata polis sedang melengkapkan siasatan kes tersebut.

Beliau berkata siasatan dibuat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada 13 Sept lepas, Pegawai khas Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman, Ahmed Wafiuddin Shamsuri membuat laporan polis mendakwa Shahril Azman memainkan sentimen 3R semasa berada dalam DUN Pelangai dengan video dimuat naik di akuan media TikTok ADUN tersebut.

-- BERNAMA